Wednesday, March 16, 2011

Masjid Nabawi

Masjid Nabawi rujukan perancangan bandar dirahmati

MASJID Nabawi atau Masjid Nabi di Madinah, Arab Saudi didirikan oleh Nabi Muhammad SAW dan sahabat pada tahun pertama hijrah (622 Masihi). Disebut Masjid Nabawi kerana Baginda selalu menyebutnya dengan kalimah ‘Masjidku ini’ setiap kali menerangkan mengenai sebuah masjid yang sekarang berada di pusat kota Madinah.


Daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: “Satu sembahyang di masjidku ini lebih afdal daripada seribu sembahyang di masjid lain, kecuali Masjidil Haram di Makkah.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menziarahi Masjid Nabawi adalah masyru' dan dikira termasuk ibadat. Penyataan ini adalah sesuai dengan sabda Nabi bermaksud: “Tidak sepatutnya (bersusah payah) keluar belayar (untuk menziarahi mana-mana masjid kecuali (untuk pergi) ketiga-tiga masjid (yang berikut) Masjidil Haram (di Makkah), dan masjid Rasulullah (di Madinah) serta Masjid al-Aqsa (di Palestin).” (Hadis riwayat Bukhari)

Masjid Nabawi mempunyai banyak sejarah dan kelebihannya dalam Islam sebagai tempat beribadat, pentadbiran negara dan kegiatan kemasyarakatan. Namun, tidak ramai yang menyedari bahawa ia kerap dijadikan contoh oleh ahli seni bina, perancang bandar dan tokoh agama sebagai model dalam pembangunan masjid.

Tanpa merujuk kepada fungsi masjid pada zaman Nabi Muhammad, Masjid Nabawi pada masa ini boleh diambil sebagai model bagi tujuan perancangan bandar.

Masjid Nabawi pada masa ini, walaupun tidak mencerminkan fungsi masjid sama seperti pada zaman Nabi, dalam kepesatan pembangunan, permodenan dan perubahan masyarakat, persekitaran yang ditonjolkan olehnya boleh dianggap terbaik selain Masjid al-Haram.

Persekitaran pembangunan yang wujud di sekeliling Masjid Nabawi dan Masjid al-Haram (bukan masjid itu sendiri) hampir kepada apa yang dikehendaki oleh Islam. Pembangunan itu juga tidak banyak percanggahan dengan dituntut oleh Islam.

Masjid Nabawi menjadi tumpuan umat Islam seluruh dunia untuk beribadah, terutama bagi mereka yang mengerjakan umrah atau ibadah haji.

Di sini letaknya makam rasul yang mulia, Nabi Muhammad serta Saidina Abu Bakar dan Omar. Berhampiran masjid adalah perkuburan al-Baqi' yang ada makam sahabat lain, isteri dan anak Nabi.

Di sekeliling masjid ini ialah tempat penginapan, hotel bertaraf limabintang, bank, pusat perniagaan dan bazar yang menjual beraneka barangan dari seluruh dunia.

Persekitaran di sekeliling masjid ini bersih dan suci, bahkan boleh dikatakan antara yang terbersih di dunia.

Apabila berjalan di lorong sekitar tempat penginapan dan kawasan perniagaan berhampiran masjid, kita hanya akan mendengar bacaan al-Quran, nasyid serta suara pekedai dan pembeli tawar-menawar.

Sejak jam 3 pagi berduyun-duyun manusia menghala ke Masjid Nabawi untuk menunaikan ibadah dan setiap waktu selepas solat, berduyun-duyun pula pulang ke penginapan masing-masing. Tidak kurang yang membeli-belah di bazar sekitar masjid berkenaan.

Gambaran ini bukan mahu menunjukkan unsur duniawi di sekitar masjid Nabawi. Sebaliknya, tidak keterlaluan dikatakan perniagaan yang dijalankan oleh hampir keseluruhannya oleh orang Islam, persekitarannya serta kebersihannya boleh dianggap menepati kehendak Islam.

No comments:

Post a Comment